Dapatkan maklumat tepat
PUTRAJAYA 26 Okt. - Terlalu banyak maklumat tidak tepat disebarkan
oleh pakatan pembangkang menjadi punca utama segelintir masyarakat
negara ini menolak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang
akan dilaksanakan mulai 1 April 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar
berkata, penyebaran maklumat tidak tepat sememangnya mempengaruhi
pemikiran sesetengah pihak sekali gus menyebabkan pembentangan Bajet
2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diterima dalam
perasaan bercampur baur.
Beliau berkata, masyarakat negara ini perlu mendapatkan maklumat
sahih mengenai intipati Bajet 2014 bagi membolehkan mereka memahami
setiap perancangan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan untuk
meningkatkan taraf ekonomi Malaysia.
"Sekarang terlalu banyak maklumat yang tidak betul disebarkan
terutama oleh pakatan pembangkang. Sebagai rakyat, kita perlu memahami
dan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai intipati Bajet 2014.
"GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2015 pada kadar enam
peratus adalah jauh lebih rendah daripada kadar cukai-cukai sedia ada
seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri Karnival Larian Statistik 2013 di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Perangkaan Malaysia, Dr. Abdul Rahman Hasan dan
Presiden Persatuan Perangkaan Malaysia, Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Menurut Abdul Wahid , kadar GST yang akan dilaksanakan di Malaysia
juga amat rendah berbanding dalam kalangan negara ASEAN lain yang turut
melaksanakannya seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Laos
yang mengenakan GST pada kadar 10 peratus manakala Singapura serta
Thailand pada kadar tujuh peratus.
"Ramai yang kata bila GST diperkenalkan akan ada pihak yang terbeban.
Mereka sebenarnya silap kerana melalui pelaksanaan GST kita sebenarnya
mengelak daripada pembayaran cukai dua kali iaitu cukai jualan dan cukai
perkhidmatan, selepas ini kita hanya perlu bayar satu cukai sahaja.
"Perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan
adalah amat minimum, malah ada barangan yang akan menjadi lebih murah.
Selain itu terdapat juga barangan utama di negara ini bakal dikecualikan
daripada GST," katanya.
Katanya, rakyat negara ini sepatutnya berterima kasih kepada Perdana
Menteri kerana membentangkan bajet yang komprehensif dan
bertanggungjawab bagi memastikan negara ini berkembang secara mapan dan
cemerlang.
"Bajet 2014 sebenarnya menyasarkan untuk mengurangkan kadar defisit
negara kepada 3.5 peratus pada 2014 dan tiga peratus menjelang 2015
selaras dengan matlamat untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020,"
katanya.
Sementara itu mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan
GST bakal membebankan rakyat, Abdul Wahid berkata, kerajaan telah
melakukan kajian terperinci sebelum memutuskan untuk melaksanakan GST.
"Kerajaan telah bersedia dengan sebarang kemungkinan, contohnya
pelbagai bantuan sokongan akan diberikan kepada rakyat semasa peringkat
peralihan pelaksanaan GST termasuk pemberian bantuan tunai secara
'one-off' sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M)," katanya.
No comments:
Post a Comment