Wednesday, November 14, 2012

Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula

KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.
 
Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.
 
"Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.
 
"Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini hari ini.
 
Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.

Beliau berkata pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berharap JPA mengambil tindakan yang sewajarnya.
 
"Misalnya kalau elaun perumahan di Sememanjung RM800, sini (Sabah/Sarawak) pun RM800, pasal rumah ini tiada (harga rumah) Sabah murah, Sarawak mahal dan sememanjung murah.
 
"Kita bimbang bila pekerja baru masuk, kalau gaji masih kecil, masalahnya mereka mahu tinggal di mana? Sewa mahal, beli rumah pun tidak mampu," katanya.
 
Beliau berkata keadaan itu akan menjejaskan produktiviti, tanggungjawab sosial dan keluarga kepada penjawat awam terutama yang baru bekerja.
 
Sementara itu, Omar berkata Cuepacs belum bersetuju mengenai cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalin kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan penjawat awam. - Bernama

Friday, October 12, 2012

SURUHANJAYA KHAS KAJI TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM KEMUKA LAPORAN DISEMBER


Bernama
11/10/2012
 
MELAKA, 10 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam akan mengemukakan laporan lengkap berhubung cadangan penambahbaikan perkhidmatan awam kepada Kabinet akhir tahun ini.

Pengerusinya Tun Zaki Tun Azmi berkata suruhanjaya itu kini sedang melakukan lawatan mengejut ke jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan bagi melihat mutu perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai serta memahami situasi yang dihadapi rakyat ketika berurusan dengan sektor awam.

"Bukan kita nak cari salah, masalah tetapi untuk memahami keadaannya, dengan memahami keadaan ini mungkin kita boleh memperbetulkan dan memperbaiki kelemahan yang terdapat di tempat ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, Rabu.

Turut menyertai lawatan itu, beberapa anggota suruhanjaya itu termasuk bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Zaki berkata pihaknya yang melakukan lawatan ke sektor awam di Sarawak dan Sabah pada Ogos dan Sept lepas, hari ini mengadakan lawatan ke Pejabat Daerah Sepang, Ibu pejabat Polis Daerah Sepang di Selangor; Klinik 1Malaysia Rasah dan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan selain UTC Melaka.

Sunday, September 23, 2012

KEPUTUSAN PEMILIHAN MAJLIS JAWATANKUASA KERJA KEPP-STATS SESI 2012-2014

Berikut adalah keputusan rasmi pemilihan MJKK KEPP-STATS 2012-2014

BILANGAN AHLI YANG BERHAK:                     686
KERTAS UNDI DIKELUARKAN:                         686
KERTAS UNDI DIPULANGKAN:                         496
                 Kertas undi diterima:                         476
                 Kertas undi ditolak (rosak):                 20
                       i.     Pangkah selain 'X'                  16
                       ii.    Pangkah melebihi had              2
                       iii.   Borang Kosong tiada 'X'           2


Jawatan PRESIDEN
a.   Murdafi bin Ithnin (127 undi)
b.   MOHD. HASNAN BIN MOHD ALI (329)

Jawatan NAIB PRESIDEN
NUR AZLILYANY MOK BINTI ABDULLAH (Menang Tanpa Bertanding)

Jawatan SETIAUSAHA
ROSLAN BIN NORDIN (Menang Tanpa Bertanding)

Jawatan PENOLONG SETIAUSAHA
a.   NOOR ARFIKEEN BINTI ARIFFIN (192)
b.   Rosmawati binti Abu Kassim (88 undi)
c.   Norazita binti Abdul Razak (172 undi)

Jawatan BENDAHARI
NOOR HANIM BINTI HARUN (Menang Tanpa Bertanding)

Jawatan AHLI JAWATANKUASA KERJA (5 ORANG)
1.     ZAMRI BIN ZAKARIA (378 UNDI)
2.     ASIAH BINTI HASSAN (308 UNDI)
3.     ROSMAWATI BINTI ABU KASSIM (222 UNDI)
4.     HARMIZAN BIN IBRAHIM (214 UNDI)
5.     MYRLIZAM BIN SABTU (196 UNDI)
6.     Fauzi bin Mustaffa (175 undi)
7.     Raymei bin Abdul Aziz (171 undi)
8.     Ismail bin Nopiah (152 undi)
9.     Norlina binti Parman (126 undi)
10.   Azman bin Ahmad (94 undi)
11.   Muhammad Assamarqandi Lee bin Abdullah (87 undi)
12.   Hamdi bin Mohd. Zawawi (77 undi)
13.   Mohd. Fazli bin Abdul Majid (68 undi)







MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN KEPP-STATS SESI 2012-2014

Mesyuarat Dwi Tahunan KEPP-STATS Sesi 2012-2014 telah dilangsungkan dengan jaya pada Khamis, 20 September 2012 bertempat di Dewan Anggerik Aras 2, mulai jam 8.30 pagi hingga 3.00 petang.

YBhg. Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hasan, Ketua Perangkawan Malaysia telah sudi hadir untuk menyampaikan amanat dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan KEPP-STATS. Antara intipati amanat beliau ialah supaya anggota Jabatan khususnya Pembantu Perangkaan sebagai barisan hadapan Jabatan menjalankan tugas dengan penuh intergriti bagi memastikan kualiti data yang dipungut.


YBhg. Dr. KP sedang menyampaikan amanat

 
Sebelum itu, Encik Jaapar bin Mansor, Setiausaha Kewangan CUEPACS, merangkap Pengerusi CUEPACS WPKL telah menyampaikan beberapa isu yang sedang diusahakan CUEPACS, antaranya;
i.     Perbentangan Budget 2013 yang mengandungi tuntutan CUEPACS seperti:
       a.   2 bulan Bonus
       b.   Kadar Faedah Pinjaman Perumahan Kerajaan diturunkan
       c.   Menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan
       d.   Menyelaraskan COLA bagi penjawat awam yang mendiami kuarters kerajaan
ii.     Penstrukturan semua skim perkhidmatan dan jadual gaji;
iii.    Mensyaratkan pembinaan rumah mampu milik yang bernilai bawah RM150,000 sebanyak 35% di
       kawasan bandar.

Encik Jaapar bin Mansor sedang menyampaikan isu dan perkembangan
semasa yang diusahakan oleh CUEPACS

Seramai 230 orang ahli telah menghadiri mesyuarat agung ini.





Tuesday, September 11, 2012

CUEPACS HARAP KERAJAAN BERI BONUS TERBAIK KEPADA PENJAWAT AWAM

Bernama
10/9/2012

KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen 28 Sept ini.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata sebelum ini CUEPACS memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.

"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini Ahad.

Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian, pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.

Thursday, August 2, 2012

Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya. - Bernama

Friday, July 13, 2012

CUEPACS BINCANG BONUS AIDILFITRI UNTUK 1.4 JUTA PENJAWAT ISNIN INI


KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Tuntutan bonus Aidilfitri untuk 1.4 juta penjawat awam di negara ini adalah antara isu yang akan dibincang pada mesyuarat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Isnin ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata permintaan bonus itu akan dibincang dari pelbagai sudut termasuk jumlah bayaran.

Cuepacs juga akan membincangkan dasar baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Omar mengulangi pendirian Cuepacs yang tidak bersetuju dengan dasar itu kerana dianggap menutup peluang kerjaya untuk lepasan SPM, selain boleh membawa masalah kepada SPA pada masa depan.

"Selain itu, Cuepacs juga membantah dasar SPA yang membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini," katanya.

Katanya keputusan Cuepacs berhubung kedua-dua dasar itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini pada 16 Julai.

Selain beramah mesra, beliau berkata Cuepacs berharap Ali dapat memberikan pendapat dan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam.

Tuesday, July 3, 2012

NOTIS MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN SESI 2012-2014

Semua Ahli Kesatuan Pembantu Perangkaan
Kerajaan Semenanjung Malaysia

Tuan/Puan,


Peraturan 9(2) - NOTIS PERMULAAN
MESYUARAT AGUNG DWI-TAHUNAN
DAN PEMILIHAN PEGAWAI UNTUK SESI 2012-2014
KESATUAN PEMBANTU PERANGKAAN KERAJAAN
SEMENANJUNG MALAYSIA [KEPP-STATS]

Dengan hormatnya saya diarahkan memaklumkan kepada saudara/saudari bahawa Majlis Jawatankuasa Kerja yang bermesyuarat khas pada 27 Jun 2012 telah menetapkan bahawa Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan dan Pemilihan Pegawai untuk Sesi 2012-2014 akan di adakan pada Khamis, 20 September 2012 bertempat di Dewan Anggerik Aras 2, Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya bermula jam 8.30 pagi.

2.       Sehubungan itu, bersama-sama ini disertakan Borang Pencalonan Majlis Jawatankuasa Kerja 2012/2014 (Lampiran A) dan Borang Usul (Lampiran B) untuk tindakan tuan/puan selanjutnya.

3.       Sila ambil perhatian untuk mengembalikan borang-borang di perenggan 2 kepada Setiausaha mengikut ketetapan berikut:         
a.       Lampiran A - selewat-lewatnya Selasa,31 Julai 2012 (29 hari).
b.       Lampiran B – selewat-lewatnya Khamis, 13 September 2012
          (7 hari sebelum mesyuarat Agung)
Penghantaran awal dialu-alukan dan penerimaan lewat tidak akan diterima
dan dianggap batal.

4.       Kerjasama dan perhatian saudara/saudari dalam perkara ini amatlah dihargai bagi melicinkan persediaan mesyuarat ini.

Sekian, terima kasih.

“PEKERJA TIANG SERI NEGARA”
“PEKERJA BERIINOVATIF PENGGERAK TRANSFORMASI”
“PENERIMA ANUGERAH KESATUAN SEKERJA CONTOH (SEKTOR AWAM) 2012”

(ROSLAN BIN NORDIN)
SETIAUSAHA KEPP-STATS 2010/2012

Friday, June 22, 2012

PERSIDANGAN PERWAKILAN DWI TAHUNAN MBK AM/SOKONGAN

Persidangan perwakilan Dwi Tahunan Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pekerja-Pekerja Am dalam Kumpulan Sokongan [MBK AM/SOKONGAN] Sesi 2012-2014 akan diadakan pada Khamis, 28 Julai 2012 bertempat di Kuala Lumpur International Hotel, Kg. Baru, Kuala Lumpur. Persidangan ini akan dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Abu Bakar bin Abdullah, Ketua Pengarah Perrkhidmatan Awam Malaysia.

KEPP-STATS akan menghantar Setiausaha sebagai wakil manakala MJKK lain sebagai pemerhati.

Untuk makluman, Setiausaha telah dicalonkan bertanding untuk Jawatan Ahli Majlis MBK AM/Sokongan oleh KEPP-STATS, Kesatuan PERHILITAN dan Kesatuan UMGSU.

Monday, May 28, 2012

PIALA DAN SIJIL ANUGERAH


GAMBAR DAN SIJIL ANUGERAH KESATUAN SEKERJA CONTOH (SEKTOR AWAM) MALAYSIA 2012.

Monday, May 14, 2012

PROGRAM JOM GI CANDAT 2012 
Jabatan Perangkaan Malaysia

Program ini adalah anjuran bersama KEPP-STAS, PERKISA, KSS dan PPPP-JPM serta dibantu oleh Jabatan Perangkaan Terengganu. Program ini telah dilangsungkan pada 12 dan 13 Mei 2012 bertempat di Perairan Pulau Kapas, Marang, Terengganu. KEPP-STATS telah diberikan tanggungjawab sebagai Penyelaras program ini diketuai oleh Encik Roslan bin Nordin (BPPIB), Sertiausaha KEPP-STATS, Encik Harmizan bin Ibrahim (BPPAS) - Penyelaras Kutipan dan Makanan, Encik Mohd. Hasnan bin Mohd. Ali (BPPLN) - Penyelaras Lojistik dan Peralatan, dan Encik Romli bin Yahaya (ILSM) - Penyelaras Sewaan Bot.

Seramai 39 orang peserta telah menyertai program ini yang turut dimeriahkan dengan penyertaan Pengarah Kanan, Pengarah Bahagian, Pengarah Negeri, Timbalan Pengarah dan semua peringkat jawatan yang lain.

YBhg. Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hasan, Ketua Perangkawan telah melapangkan masa hadir untuk merasmikan program dan seterusnya melepaskan peserta program di Jeti LKIM Marang. Pengarah JP Terengganu, Pegawai dan anggota JP Terengganu serta Encik Wan Mazlan bin Wan Ali, Wakil KEPP-STATS JP Terengganu turut hadir memeriahkan majlis perasmian ini.

Alhamdulillah cuaca semasa program mencadat baik cuma arus yang kuat yang menyebabkab 3-4 orang peserta mabuk. Namun begitu, hasil keseluruhan sotong yang dicandat oleh 4 buah bot adalah lebih kurang 70 kg. Setiap peserta membawa pulang sotong sekitar 7 hingga 8 ekor sekitar 1.3 kg seorang.

Keseluruhan peserta meluahkan perasaan gembira dan berharap program ini akan dianjurkan pada tahun hadapan di mana Encik Kamarudin Muhamed, Pengarah Kanan BPHPP telah menempah tempat untuk program akan datang.

KEPP-STATS sebagai penyelaras program ingin merakamkan penghargaan kepada:
i.     YBhg. Dr. Ketua Perangkawan yang telah meluluskan serta merasmikian program ini;
ii.     KEPP-STATS, PERKISA, KSS dan PPPP-JPM yang telah menyokong dan memberikan
       sumbangan  wang untuk pengurusan program ini;
iii.    Pengarah dan anggota JP Terengganu yang membantu dalam penyediaan acara perasmian;
iv.    Wakil KEPP-STATS JP Terengganu;
v.    Individu yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung dari segi wang dan
       tenaga bagi memastikan program ini berjaya;
vi.  AJK Penyelaras yang telah bertungkus lumus memastikan program berjalan lancar; dan
vii.  Yang utama, para peserta program kerana tanpa komitmen dan sokongan mereka, program
       ini mustahil dapat diadakan.

Berita penuh dan gambar sekitar program akan dimuatturunkan dalam tempoh terdekat.

Sekian

Roslan nin Nordin
Setiausaha KEPP-STATS
merangkap Ketua Penyelaras Program Jom Gi Candat 2012,
Jabatan Perangkaan Malaysia 
KEPP-STATS TERIMA ANUGERAH

KEPP-STATS melakar sejarah apabila dipilih memenangi Anugerah Kesatuan Contoh (Sektor Awam) pada Majlis Perhimpunan Perpaduan Sempena Hari Pekerja 2012 yang telah dilansungkan pada 12 Mei 2012 di MAEPS, Serdang. Perhimpunan ini dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Piala dan plak telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malayasia, Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul  Razak.

Berita penuh dan gambar akan saya uploadkan kemudian.


Friday, March 23, 2012

CUEPACS mahu JPA segera keluarkan pekeliling gaji

CUEPACS menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengeluarkan pekeliling mengenai pelarasan gaji baru bagi kakitangan awam mengikut Skim Saraan Malaysia (SSM) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

NONEPresiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pekeliling itu perlu diedar segera kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi membolehkan pembayaran gaji baru dengan kenaikan antara tujuh dan 13 peratus dibuat kepada semua kakitangan awam mulai bulan hadapan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah mengumumkan pelarasan gaji baru kakitangan awam iaitu kenaikan antara tujuh dan 13 peratus tapi kita sedang tunggu pekeliling itu untuk membolehkan setiap agensi membuat kiraan gaji untuk dibayar pada bulan berikutnya.

"Selagi pekeliling itu belum keluar semua agensi belum boleh buat kiraan gaji untuk membayar dan kita harap hujung bulan ini pekeliling itu mesti selesai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wacana bertajuk "Mentransformasikan Skim Perkhidmatan Institusi Pengajian Tinggi Awam" pada Program Sumbangsaran Intelektual Peringkat IPTA di Nilai hari ini.

- Bernama

Wednesday, March 21, 2012

PENJAWAT AWAM TERIMA BAYARAN TUNGGAKAN MAC ATAU APRIL

PUTRAJAYA 8 Mac – Para penjawat awam seluruh negara dijangka menerima bayaran tunggakan gaji pada bulan ini atau bulan depan berikutan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengembalian kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, bayaran tunggakan berasaskan gaji pokok terkini itu akan dikira mulai 1 Januari 2012.

“Cara pembayaran tunggakan iaitu sama ada sekali gus atau berperingkat-peringkat, bagaimanapun perlu ditentukan oleh bahagian sumber manusia agensi masing-masing.

“Ini kerana gaji tersebut perlu dikira semula, tetapi bagus juga kalau ia dibayar sekali gus,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Dalam perhimpunan tersebut, Najib mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana serta pelarasan antara tujuh peratus hingga sembilan peratus untuk kumpulan lain. - UTUSAN

Thursday, March 8, 2012

PELARASAN GAJI BERKUATKUASA 1 JAN

Bernama
8/3/2012


PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Khamis akan berkuatkuasa 1 Jan tahun ini dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Katanya ia berdasarkan kepada perbincangan Cuepacs dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini di mana pengumuman itu dibuat.

"Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita selepas itu.

Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A; lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara.

Omar berharap pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan produktiviti.

Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan Cuepacs yang lain.

Mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata pengumuman Perdana Menteri itu turut menggembira kaum guru.

"Ia jelas menunjukkan golongan pendidik tetap diberi keutamaan oleh kerajaan kerana kenaikan pangkat tidak perlu menunggu masa yang lama iaitu selama 10 tahun," katanya.

Kerajaan mengumumkan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang dimumkan dalam Bajet 2012.

Wednesday, March 7, 2012

SBPA BATAL, SSM YANG DITAMBAH BAIK KEMBALI

Bernama
8/3/2012

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Dalam pengumuman beliau pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di sini, Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Selain itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.

Katanya struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

"Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi," katanya.

Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata Perdana Menteri sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan. Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu menerima 1,087 aduan serta maklumat balas di samping beberapa memorandum serta cadangan daripada 23 kesatuan.

Najib berkata kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk sama-sama menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu, dan walaupun kerajaan berjaya membawa negara keluar daripada gelora ekonomi global ini, usaha perlu digandakan bagi memastikan negara terus bebas daripada belenggu gelora ini di tahun-tahun mendatang.

Katanya dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikir langkah terbaik, yang semasa ia mendahulukan kepentingan rakyat, pada masa yang sama ia tidak mengetepikan faktor-faktor lain, terutama daripada segi kelestarian kestabilan ekonomi negara, atau dalam erti kata lain keupayaan kewangan kerajaan mesti diambil kira.

"Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan hari ini tentu akan mempunyai kesan jangka panjangnya. Kerajaan tidak rela Malaysia menjadi sebuah tragedi kewangan seperti Greece atau negara-negara lain," katanya.

Najib berkata untuk menjamin ekonomi negara tidak terkesan oleh senario ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu meneruskan usaha mengurangkan defisit fiskal negara.

Beliau berkata pada 2010 defisit negara mencecah 5.6 peratus, manakala tahun lepas ia berjaya dikurangkan kepada lima peratus dan tahun ini ia diharapkan dapat dikurangkan lagi ke tahap 4.7 peratus.

Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

Skim SBPA dimansuh, pelarasan gaji 7 - 13 peratus

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan.

Dalam pengumuman di depan ribuan penjawat awam di Putrajaya hari ini, Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mendengar rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati.

"Dengan keputusan ini, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan," katanya pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Berhubung pelarasan gaji pula, ia dibuat berdasarkan jadual gaji matriks SSM mengikut peratusan gred yang ditetapkan seperti berikut:
  • Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.
  •  Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.
  •  Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2.
  •  Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan ketua setiausaha.
Najib mengakui sepanjang tempoh tiga bulan SBPA diperkenalkan, kerajaan menerima hampir 1,000 aduan dan memorandum, termasuk cadangan daripada 23 persatuan berkaitan.

"Saya harap semua pihak reda dan tak ada lagi yang tak puas hati di semua peringkat. Saya doakan ini jadi penyelesaian terbaik," katanya.

Kerajaan juga bersetuju elaun bantuan sara hidup (COLA) bagi kawasan B dan C masing-masing dinaikkan daripada RM150 kepada RM250 sebulan.

Sebelum ini, COLA bagi kawasan B dan C masing-masing ditetapkan pada kadar RM200 dan RM100.

Najib juga mengumumkan pembentukan suruhanjaya yang dianggotai pihak berkepentingan, seperti kementerian kewangan dan Cuepacs bagi mengkaji tuntutan-tuntutan lain penjawat awam.

Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, beliau akan membangkitkan  beberapa perkara yang belum diputuskan dalam suruhanjaya yang dibentuk itu.

"Kita rasa lega sikitlah dengan adanya suruhanjaya. Kalau tak, kita kena buat jawatankuasa itu, jawatankuasa ini," katanya.

Omar juga berharap kenaikan gaji yang diberikan tidak diikuti dengan kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna.

Najib umum batal SBPA, penjawat awam kembali kepada SSM yang ditambah baik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2012 dibatalkan dan mengekalkan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif sistem saraan untuk penjawat pada masa depan.
Beliau juga mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Najib juga mengumumkan jadual gaji matriks yang dilaksanakan sekarang diubahsuai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM.

Bagi Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA), Najib mengumumkan kenaikan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.

Najib membuat pengumuman itu pada perhimpunan khas bersama penjawat awam di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini. - BERNAMA

Pelarasan gaji berdasarkan jadual matriks SSM: PM

Berita Harian
2012/03/08

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelarasan gaji berdasarkan jadual gaji matriks Sistem Saraan Malaysia (SSM) mengikut peratusan gred yang ditetapkan

Antaranya, pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54.
Bagi kumpulan Gred Utama C, B, A pelarasan gaji sebanyak sembilan peratus, manakala Gred Turus III dan II pelarasan gaji sebanyak lapan peratus.
Sementara itu, bagi Gred Turus I dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus

Monday, March 5, 2012

SEMAKAN SBPA SIAP AWAL APRIL

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka disiapkan awal April, tempoh ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan jawatankuasa semakan semula yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam sudah mencapai banyak kemajuan untuk memastikan proses semakan semula itu disiapkan pada tarikh ditetapkan. Saya dimaklumkan Perdana Menteri sudah menetapkan tempoh hingga awal April. Apa pun tunggulah kerana saya percaya apabila tiba masa sesuai, Perdana Menteri akan mengumumkan bentuk dan format bagaimana skim itu hendak dilaksanakan,” katanya selepas perjumpaan khas dengan penjawat awam negeri dan Persekutuan sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, semalam. Terdahulu ketika berdialog dengan penjawat awam, Muhyiddin berkata, semakan semula SBPA diharap memuaskan hati semua penjawat awam kerana membabitkan arahan serta campur tangan terus daripada Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin keluhan penjawat awam dengan menangguhkan skim itu dan melantik panel kajian semula dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk CUEPACS.

Muhyiddin berkata, kerajaan BN yang mentadbir negara ini sentiasa membela penjawat awam kerana peranan mereka penting untuk menterjemahkan dasar dan aspirasi yang dirumus kerajaan bagi membela rakyat.

“Kerajaan BN akan pertahankan kakitangan awam. Jika kerajaan beralih tangan, Nauzubillah. Justeru, saya harap penjawat awam dan keluarga mereka termasuk di Terengganu untuk terus bersama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang penjawat awam mengenai nasib kakitangan kerajaan jika pentadbiran negara beralih kepada parti lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan BN membela kakitangan awam dan menyemarak pembangunan negara jelas menerusi pelbagai dasar sedia ada, sedangkan pembangkang tampil dengan Buku Jingga dengan pakar ekonomi berpendapat akan menyebabkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan.

Buku Jingga turut menggariskan usaha pembangkang untuk mengurangkan penjawat awam dengan mengatakan Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah tenaga kerja, antara tertinggi di dunia.

Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu lebih responsif melaksanakan agenda dan aspirasi kerajaan dengan turut sama berdamping atau turun padang bertemu rakyat bagi mendapatkan maklum balas rakyat berhubung sesuatu dasar yang mahu dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerajaan menamatkan pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Kursus Perguruan Lepasan SPM, Muhyiddin berkata, belum ada keputusan dibuat setakat ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sudah membuat lantikan Pengarah Pelajaran Terengganu yang kosong sejak tiga bulan lalu dan pengumuman dibuat dalam tempoh terdekat.

PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM BERSAMA PERDANA MENTERI AKAN DIADAKAN PADA 8 MAC 2012

Media Cuepacs
2/3/2012

Perhimpunan penjawat awam bersama YAB Perdana Menteri Malaysia akan diadakan pada:

Tarikh : 8 Mac 2012

Masa : 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari

Tempat : Dewan Perdana, Dewan A dan Dewan B Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)


Semua penjawat awam di seluruh Malaysia dijemput hari bagi mendengar satu pengumuman penting yang akan disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak

Wednesday, February 22, 2012

Cuepacs tuntut naik gaji RM700-RM2,500

PUTRAJAYA - Di sebalik rasa tidak puas hati berkenaan dengan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang sepatutnya dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu, Cuepacs hari ini menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Pelaksanaan SBPA ditangguhkan sementara pasukan petugas khas selesai menjalankan semakan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi SBPA.

Dipetik Bernama, beliau berkata, tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji. Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.


Omar berkata, tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA.

"Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

"Jika tidak boleh juga... apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya. - Sinar Harian

Thursday, January 12, 2012

CUEPACS SAHKAN KERAJAAN TANGGUH SBPA

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan kajian semula yang lebih mendalam dijalankan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda sebentar tadi. Pagi tadi, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai isu itu.

"Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Azih menambah, kajian ke atas SBPA, yang akan dijalankan melibatkan soal kenaikan gaji, antara kakitangan kumpulan rendah dan tinggi, yang mencetuskan rasa tidak puas hati.

"SBPA bukan dibatal, tetapi ditangguh bagi membolehkan kajian mendalam dijalankan. Apabila selesai nanti, ia boleh dilaksanakan dengan dibayar tunggakan kepada kakitangan awam," katanya merujuk kepada tarikh pelaksanaan SBPA yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

"Kita tidak tahu berapa lama kajian ini akan dijalankan, tetapi keputusan Kabinet ini selaras dengan pandangan yang rata-rata tidak berpuas hati dengan SBPA," katanya lagi.

Cuepacs, dalam pendiriannya akhir bulan lalu, telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perbincangan dengan badan induk kesatuan sekerja sektor awam itu.

Malah katanya, Cuepacs akan mengadakan satu mesyuarat khas malam ini di ibu negara bagi membincangkan keputusan terbaru kerajaan ini.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari ini berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.
 
"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber kepada Sinar Harian Online.

KABINET ARAH TANGGUH SKIM SBPA SEKTOR AWAM

SHAH ALAM - Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewan gan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

Sebelum ini wujud dakwaan kononnya kakitangan kumpulan pengurusan tinggi dan kanan menerima kenaikan gaji sangat tinggi, sehingga mencecah 50 peratus.

Bagaimanapun ia telah dinafikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah bulan lalu.

SBPA memperkenalkan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menurut sumber itu, kerajaan mahu kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan komponen SBPA bagi memastikan tujuan pelaksanaan sistem gaji baru itu mencapai matlamat.

Mengenai tempoh penangguhan, sumber memberitahu, "ia kemungkinan besar akan mengambil masa beberapa bulan, juga kemungkinan hanya akan dilaksanakan selepas pilihan raya berakhir, supaya segala rasa tidak puas hati selesai dan diatasi secara menyeluruh."

Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan enggan mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.

"Tunggulah esok, maklumat jelas akan dikeluarkan," kata seorang pegawai kanan ketika dihubungi.

Pada 18 Disember lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat pendirian tegas dengan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu.

Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pertemuan itu telah diadakan akhir bulan lalu.

Ketika itu, Cuepacs juga meminta ahli-ahlinya tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai.

Jabatan itu membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia sepatutnya ditutup pada 30 Disember, tetapi dilanjutkan sehingga 15 Januari selepas pertemuan Cuepacs dengan Najib.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji.

Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia sebelum ini.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lalu, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya.

Ada yang mendakwa menerima kenaikan gaji jauh lebih rendah daripada kadar yang diumumkan Najib.

“Jelaskan kedudukan kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus ini,” kata Omar ketika itu.

Beberapa parti politik juga menggesa kerajaan menangguhkan SBPA atas alasan mengabaikan kepentingan kakitangan kumpulan rendah, yang merupakan dua pertiga saiz kakitangan awam.

CUEPACS, KSN BINCANG ISU SBPA DITANGGUH

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkaitan isu keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, pihaknya akan membincang isu ini dan akan memberi penjelasan petang nanti.
"Sekarang tengah mesyuarat dengan KSN, pasal isu ini (SBPA). Telefon balik petang nanti untuk mendapatkan penjelasan," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.