Wednesday, December 21, 2011

PERDANA MENTERI SETUJU TANGGUH SBPA - OMAR OSMAN

22 Disember 2011

Utusan Malaysia
22/12/2011 12:53pm

PUTRAJAYA 22 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini hari.
Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu.

Sunday, December 18, 2011

CUEPACS minta tangguh SBPA





KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.

"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini.

Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.
"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.

"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.

Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.
"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.

Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA.

Omar Osman (dua dari kanan) menunjukkan siaran akhbar mengenai bantahan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam kepada sebahagian penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan). - BERNAMA

Friday, December 16, 2011

PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM ANJURAN CUEPACS

TAJUK : BANTAHAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA)

TARIKH: 18 .12. 2011 (AHAD)
MASA: 3.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN CIDB, JALAN CHAN SOW LIN, CHERAS,
KUALA LUMPUR


SEMUA PENJAWAT AWAM DIJEMPUT HADIR

BEBERAPA OPSYEN SBPA DI BANTAH

CUEPACS minta 1.4 juta kakitangan awam tidak tandatangan surat tawaran JPA

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu. Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan. Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari bermula kelmarin membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana, di sini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara.

Katanya, lima inti pati digariskan melalui bantahan untuk dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka ditemui pada 19 Disember ini, antara lain meliputi desakan pembatalan Exit Policy selain penjelasan kedudukan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus seperti diumumkan melalui SBPA baru-baru ini.

“Buat masa sekarang, kita membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA dan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatanganinya terlebih dulu sebelum rundingan antara CUEPACS dan Perdana Menteri diadakan.
“Kita akan tetapkan temu janji pada 19 Disember ini, yang mana semua 125 perwakilan kongres seluruh

negara dijangka menemui Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci permintaan serta desakan CUEPACS dalam SBPA,” katanya.

SBPA diumumkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu dijangka membawa pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Ditanya mengenai lima tuntutan terbabit, Omar berkata selain pembatalan Exit Policy dan penjelasan mengenai kedudukan pelarasan gaji, CUEPACS turut mendakwa tiada sebarang rundingan bersama diadakan antara kongres itu dan JPA yang dilihat memungkinkan wujudnya unsur berat sebelah.

“Kita juga nasihatkan pihak lain yang tiada kaitan dengan CUEPACS supaya tidak campur tangan dalam soal perjuangan kongres kerana ini hak kami untuk pertahankan kepentingan semua penjawat awam,” katanya.

CUEPACS MAHU TEMUI NAJIB ISNIN INI BERHUBUNG OPSYEN SBPA

KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang disifatkan tidak begitu adil.

Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.

Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.

Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang adil.

BERNAMA

SBPA : CUEPACS BANTAH, ARAH STAF KERAJAAN TIDAK TANDATANGAN BORANG OPSYEN

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cuepacs hari ini mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu depan.

Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda berkata pihaknya bukan menolak SBPA tetapi membantah pelaksanan opsyen kerana tidak cukup maklumat dan kurang penjelasan khususnya perubahan gaji.

“Kami memutuskan untuk membantah pelaksanaan opsyen SBPA, kita mahu jumpa perdana menteri pada 19 Disember ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Perlis.

Seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa dua minggu mulai esok untuk menerima opsyen sistem SBPA.

Azih berkata pihaknya akan menjelaskan kepada perdana menteri alasan-alasan pihaknya membantah pelaksanaan opsyen dan beberapa perkara lain yang berkaitan.
 
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adakan program jelajah, tetapi tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada maklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.

“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” kata beliau.

Cuepacs mengadakan mesyuarat kongres di Kuala Perlis hari ini bagi membincangkan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Opsyen menerima SBPA akan dibuka mulai esok. Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara lain berkaitan peratusan kenaikan gaji dan dasar pemisah atau ‘exit policy’.
Pekeliling SBPA dikeluarkan 7 Disember lalu.

Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, “(mesyuarat) kongres (di Kuala Perlis) khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.”
“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya.

Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

“Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.

Tambah beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambah beliau.