Thursday, October 5, 2017

MESYUARAT JAWATANKUASA GRED EKONOMI & PERTANIAN CUEPACS

Jawatankuasa Gred Ekonomi & Pertanian (E & G) telah mengadakan Mesyuarat Bil 2/2017 pada 5 Oktober 2017 di Wisma CUEPACS.

YBhg. Datuk Azih Muda, Presiden CUEPACS telah meluangkan masa untuk hadir ke mesyuarat ini bagi menyampaikan isu dan perkembangan terkini CUEPACS terutama tututan yang dipanjangkan kepada YAB Perdana Menteri sempena Pembentangan Belanjawan 2018 pada 27 Oktober 2017 ini.

Tn. Hj. Adnan Mat, Setiausaha Agung CUEPACS juga turut hadir untuk menyampaikan pesanan dan panduan berhubung peranan dan tanggungjawab Jawatankuasa Gred.

Antara perkara yang dimesyuaratkan adalah berhubung persediaan Bengkel Gred yang dijangka diadakan pada November 2017 ini. Semua AJK diminta untuk kembali ke kesatuan masing-masing untuk mendapatkan isu dan cadangan penambahbaikan skim E & G.




Penjawat awam perlu patuh dasar maklumat siber : KSN

Oleh Noor Atiqah Sulaiman


PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu patuh kepada dasar dan prosedur pengendalian maklumat digital kerajaan bagi mengelak kebocoran maklumat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata ketirisan maklumat digital kerajaan itu menyebabkan ia dimanipulasi oleh kumpulan tertentu bagi memburukkan kerajaan.
Katanya, maklumat kerajaan yang bocor sebelum banyak digunakan untuk kepentingan peribadi apabila ia diputar belit pihak terbabit menerusi penyebaran berita palsu.
"Pelaksanaan program berbentuk kesedaran keselamatan siber kepada penjawat awam adalah perkara penting untuk dilaksanakan secara segera.
"Penjawat awam termasuk kumpulan sokongan, pengurusan, profesional dan pengurusan atasan kementerian atau jabatan perlu dididik mengenai kaedah serta tata cara pengendalian maklumat digital yang betul bagi mengelakkan kemungkinan perkara negatif berlaku sekiranya ada kecuaian ketika pengendalian maklumat terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017, di sini hari ini.
Sempena majlis berkenaan, Ali turut melancarkan Buku Garis Panduan 10 Langkah Mudah Kesedaran Keselamatan Siber, mengandungi beberapa langkah asas yang perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam bagi memupuk amalan terbaik dalam keselamatan siber serta melindungi maklumat digital kerajaan, organisasi dan negara.
Antara langkah asas yang terdapat dalam buku berkenaan termasuk aspek membabitkan pengendalian kata laluan, kemas kini perisian keselamatan, penyimpanan dan perlindungan maklumat.
Buku berkenaan turut menyentuh mengenai etika penggunaan internet dan media sosial, mengelak terpedaya, waspada terhadap jenayah siber, pautan, lampiran yang mencurigakan dan pelaporan insiden.

Langkah asas lain yang tidak kurang penting ialah kepekaan mengenai ancaman siber terkini dan pematuhan terhadap dasar, arahan, peraturan, garis panduan serta pekeliling berkaitan keselamatan siber.



Enam falsafah perkhidmatan awam menuju TN50

Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam perlu berpegang kepada enam Falsafah dan Garis Besar Haluan Menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50) ke arah merencana masa depan negara bagi tempoh 30 tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak.
Falsafah dan garis besar berkenaan adalah menjadikan kerangka maqasid syariah sebagai asas pembentukan negara; tahun 2017 sebagai tahun penyampaian; berpegang kepada prinsip wala' dan kesetiaan; melaksanakan budaya kerja di luar kelaziman; bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat 4.0 (Industri 4.0) dan 'par exellence' duniawi serta ukhrawi.
Berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 (MAPPA XV) dengan tema 'Aspirasi Perkhidmatan Awam Menuju TN50: Penyampaian Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Negara' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata:
"Aspek penyampaian perlu berdarah daging dan sebati dengan perkhidmatan awam sampai kepada tahap apabila disebut mengenai penyampaian yang cekap, ia harus sinonim dengan perkhidmatan awam Malaysia. Itulah setinggi-tinggi matlamat yang kita dambakan.
"Justeru, pengukuhan dan pemerkasaan perkhidmatan awam harus tertumpu dengan menjadikan perkhidmatan awam lebih berfokus kepada rakyat, inklusif dengan penyertaan komuniti dan berbudaya kerja serta perkhidmatan 'par excellence', selain mempunyai nilai murni yang membawa kepada keutuhan organisasi," katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa serta lebih 5,000 penjawat awam.
Perdana Menteri berkata, prinsip wala' dan kesetiaan wajib dilaksanakan kepada pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan selagi ia masih kekal dan tidak berlaku unsur kezaliman.
"Jika prinsip wala' dan kesetiaan ini menjadi amalan perkhidmatan awam, barulah ada disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi kerajaan ini.
"Kerajaan juga menyarankan penjawat awam untuk terus melipat gandakan usaha dalam melatih diri melakukan pelbagai tugas, kemahiran dan bakat, berbudaya kreatif dan inovatif serta mampu menyumbang kepada budaya kerja berproduktiviti, mempunyai nilai, pemikiran dan bermotivasi tinggi," katanya.

Beliau juga turut menggariskan tiga cabaran utama yang perlu ditempuhi kerajaan iaitu mendepani era pemerintahan baharu, geopolitik dan keamanan sejagat; memelihara kepentingan dan memenuhi kehendak kebajikan rakyat serta kemunculan Industri 4.0 .

Tidak adil bandingkan jumlah penjawat awam - PM

Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan pembangkang membandingkan jumlah penjawat awam negara ini dengan negara lain sebagai tidak adil kerana takrifan penjawat awam di Malaysia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata, pembangkang harus memahami bahawa takrifan penjawat awam di negara ini meliputi sektor perkhidmatan kesihatan seperti doktor dan jururawat, anggota keselamatan termasuk polis dan tentera serta warga pendidikan yang merangkumi hampir setengah juta guru.
"Di sebahagian negara lain, mereka tidak menghitung pekerja dalan sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan sebagai penjawat awam.
"Disebabkan itu, kita sama-sama tersinggung dan marah apabila terdapat sesetengah pihak khususnya daripada pembangkang yang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam negara ini sebagai terlebih bilangannya dan dengan angkuhnya mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 (MAPPA XV) dengan tema Aspirasi Perkhidmatan Awam Menuju TN50: Penyampaian Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Negara di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, apa yang lebih mengecewakan, pembangkang tergamak melabelkan penjawat awam, memberi tanggapan negatif dan menyelar mereka secara semberono dengan mendakwa perkhidmatan awam ini sebagai 'tidak cekap' dan 'makan gaji buta', serta sanggup menghina penjawat awam sebagai 'kucing kurap'.
"Sanggupkah tuan-tuan dan puan-puan mempertaruhkan masa depan dan anak cucu keturunan kita kepada pihak yang sedemikian ini?
"Ajaran agama pun menuntut agar kita bersyukur dengan nikmat yang sedang dikecapi dan tidak secara mudah membiarkan tanah air jatuh ke tangan mereka yang tidak menghargai sumbangan dan susah payah penjawat awam," katanya.
Kerajaan sedia ada, katanya, memberi dan menyediakan pelbagai inisiatif serta membuat penambahbaikan demi membela kepentingan dan menjaga kebajikan penjawat awam.

Antaranya, kata beliau, menaikkan gaji penjawat awam sebanyak tujuh hingga 13 peratus pada 2012 dan penetapan gaji terendah daripada RM832 kepada RM1,200 sebulan mulai Julai 2016.

Khabar gembira untuk penjawat awam dalam Bajet 2018

Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan mengumumkan khabar gembira khusus untuk penjawat awam ketika pembentangan Bajet 2018 pada hujung bulan ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 (MAPPA XV) dengan tema Aspirasi Perkhidmatan Awam Menuju TN50: Penyampaian Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Negara di sini, hari ini.
"Beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018 pada 27 Oktober ini," katanya.

Ucapan beliau itu mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 5,000 penjawat awam yang hadir pada majlis berkenaan.



MAJLIS PERDANA PENJAWAT AWAM KE LIMA BELAS (MAPPA XV) 2017

MAPPA XV telah dilangsungkan pada Selasa, 3 Oktober 2017 di Dewan Planeri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah menyampaikan amanatnya kepada penjawat awam yang hadir sekitar 5,000 orang.

Wakil KEPP-STATS yang telah hadir ialah Sdr. Roslan Nordin (Presiden dan juga selaku Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS), Sdr. Rosmawati Abu Kassim (Setiausaha dan juga selaku Ahli Majlis Kongres CUEPACS), Sdri Nur Azlilyany Mok Abdullah (AJK) dan Sdr. Mohd. Zaid Awang). 

Gambar sekitar program



Monday, May 8, 2017

KUNJUNGAN HORMAT JKT CUEPACS KE PEJABAT MENTERI WP

Satu sesi kunjungan hormat Jawatankuasa Tertinggi (JKT) CUEPACS ke Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Utama Tengku Adanan bin Tengku Mansor telah diadakan pada 14 April 2017. 

Antara isu yang dibangkitkan semasa kunjungan hormat ini ialah masalah perumahan Penjawat Awam bagi kumpulan Pelaksana.

YB Menteri WP memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Perbadanan Putrajaya untuk meneliti dan mengenalpasti kawasan yang boleh diberikan secara percuma untuk membangunkan skim perumahan Penjawat Awam yang berharga di bawah RM100 Ribu.





BENGKEL PEMUKIMAN DAN HALA TUJU CUEPACS 2017 (SESI 1) UNTUK JAWATANKUASA TERTINGGI CUEPACS

Bengkel pemukiman JKT CUEPACS telah dilangsungkan pada 05 hingga 07 Februari 2017 di New York Hotel, Johor Bahru. Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Seri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

Bengkel pemukiman bagi Jawatankuasa Tertinggi (JKT) CUEPACS merupakan siri pertama yang dianjurkan oleh CUEPACS yang bertujuan untuk memantapkan kepimpinan JKT bagi mengorak hala tuju CUEPACS merentasi tahun 2020.


Bengkel ini akan diteruskan untuk Ahli Majlis Kongres yang akan diadakan di Terengganu manakala penutupnya akan diadakan Bengkel Perdana yang akan turut melibatkan pemimpin tertinggi kesatuan gabungan di INTAN Bukit Kiara. 


SESI SANTAI KEPP-STATS BERSAMA YBRS. DR. MOHD UZIR BIN MAHIDIN, KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA

Satu sesi santai bersama dengan YBrs. Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia telah diadakan pada 28 Februari 2017 dari jam 4.30 hingga 6.30 petang bertempat di bilik Kenanga, Aras 8.

Tujuan sesi adalah untuk mengucapkan tahniah kepada YBrs. Dr. Mohd Uzir Mahidin yang telah dilantik menjadi Ketua Perangkawan Malaysia serta memperkenalkan barisan MJKK Sesi 2016-2018 kepada beliau.

Encik Roslan Nordin, selaku Presiden KEPP-STATS mengucapkan salam serta ucapan terima kasih di atas kesudian YBrs. Dr. KP untuk bertemu dengan kepimpinan kesatuan yang baru.  

Seterusnya majlis  dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab Al-Fatihah.

Beliau seterusnya memperkenalkan AJK baru dan memaklumkan yang mana kepimpinan kesatuan pada kali ini terdiri dari kombinasi muka lama dan baru.  Ini selaras dengan hasrat kesatuan yang berkehendakkan muka-muka baru perlu diketengahkan yang mana mereka ini nanti bakal menjadi pewaris untuk memimpin kesatuan ini disuatu hari nanti.  Mereka yang baru ini akan dibimbing dengan diberi peluang untuk menimba pengalaman bagi persediaan mengambil alih tampuk kepimpinan kesatuan apabila tiba waktunya.  Seterusnya beliau menyatakan bahawa KEPP-STATS akan terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada Jabatan dalam apa jua majlis yang dianjurkan oleh Jabatan.  Akhir sekali beliau memaklumkan harapan kesatuan agar YBrs. Dr. KP diberikan kekuatan dari segi mental dan fizikal, diberikan kesihatan yang baik dan semoga dapat menjadi Nakhoda yang baik dan adil juga menjadi seorang pemimpin yang disegani bukannya ditakuti.

Berberapa perkara berhubung kebajikan dan perjawatan kumpulan Pembantu Perangkaan turut dibincangkan dan mendapat perhatian yang serious oleh YBrs. Dr. KP.