Sunday, October 27, 2013

Dapatkan maklumat tepat

ABDUL Wahid Omar (tengah) diiringi Abdul Rahman Hasan (empat, kiri) bersama sebahagian daripada 2,500 peserta menyertai Larian Statistik 2013 di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya, semalam. 
 
PUTRAJAYA 26 Okt. - Terlalu banyak maklumat tidak tepat disebarkan oleh pakatan pembangkang menjadi punca utama segelintir masyarakat negara ini menolak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, penyebaran maklumat tidak tepat sememangnya mempengaruhi pemikiran sesetengah pihak sekali gus menyebabkan pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diterima dalam perasaan bercampur baur.

Beliau berkata, masyarakat negara ini perlu mendapatkan maklumat sahih mengenai intipati Bajet 2014 bagi membolehkan mereka memahami setiap perancangan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi Malaysia.

"Sekarang terlalu banyak maklumat yang tidak betul disebarkan terutama oleh pakatan pembangkang. Sebagai rakyat, kita perlu memahami dan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai intipati Bajet 2014.

"GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus adalah jauh lebih rendah daripada kadar cukai-cukai sedia ada seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Larian Statistik 2013 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Perangkaan Malaysia, Dr. Abdul Rahman Hasan dan Presiden Persatuan Perangkaan Malaysia, Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Menurut Abdul Wahid , kadar GST yang akan dilaksanakan di Malaysia juga amat rendah berbanding dalam kalangan negara ASEAN lain yang turut melaksanakannya seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Laos yang mengenakan GST pada kadar 10 peratus manakala Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus.

"Ramai yang kata bila GST diperkenalkan akan ada pihak yang terbeban. Mereka sebenarnya silap kerana melalui pelaksanaan GST kita sebenarnya mengelak daripada pembayaran cukai dua kali iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan, selepas ini kita hanya perlu bayar satu cukai sahaja.

"Perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum, malah ada barangan yang akan menjadi lebih murah. Selain itu terdapat juga barangan utama di negara ini bakal dikecualikan daripada GST," katanya.

Katanya, rakyat negara ini sepatutnya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana membentangkan bajet yang komprehensif dan bertanggungjawab bagi memastikan negara ini berkembang secara mapan dan cemerlang.

"Bajet 2014 sebenarnya menyasarkan untuk mengurangkan kadar defisit negara kepada 3.5 peratus pada 2014 dan tiga peratus menjelang 2015 selaras dengan matlamat untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020," katanya.

Sementara itu mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan GST bakal membebankan rakyat, Abdul Wahid berkata, kerajaan telah melakukan kajian terperinci sebelum memutuskan untuk melaksanakan GST.

"Kerajaan telah bersedia dengan sebarang kemungkinan, contohnya pelbagai bantuan sokongan akan diberikan kepada rakyat semasa peringkat peralihan pelaksanaan GST termasuk pemberian bantuan tunai secara 'one-off' sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

25 Oktober 2013

CUEPACS SIFATKAN BAJET 2014 AMBIL KIRA KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM

Bernama
25/10/2013

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan Bajet 2014 mengambil kira kebajikan penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata beliau berpuas hati secara keseluruhan inti pati bajet kali ini yang memberi banyak manfaat kepada penjawat awam bagi meningkatkan produktiviti dan integriti golongan itu, walaupun ada beberapa permintaan Cuepacs yang tidak ditunaikan.

"Bonus setengah bulan gaji masih dikira baik. Kita faham keadaan ekonomi sekarang dan kerajaan tidak boleh beri lebih daripada itu, apa-apa pun kita berasa syukur dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Omar mengulas pengumuman Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari Jumaat.

Beliau berkata sebelum ini Cuepacs pernah memohon kerajaan supaya memberikan bonus sekurang-kurangnya satu setengah bulan gaji atau dua bulan gaji termasuk menaikkan elaun perumahan penjawat awam.

Omar berkata antara inti pati yang dapat memberi manfaat kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

"Selain itu pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan menerima RM650.

"Melihat dari segi kesihatan pula pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir dapat membuat rawatan sendiri secara percuma di rumah dengan kit CAPD (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis)," katanya.

Omar juga berkata cadangan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati dengan potongan cukai bulanan (PCB) mereka, adalah perkara yang menarik perhatian ramai kerana ia akan memudahkan penjawat awam.

Beliau juga menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.

Omar berkata dengan adanya jawatankuasa itu ia dapat meningkatkan integriti penjawat awam kerana sebelum ini ada pihak yang mempertikaikannya.

Dalam pembentangan bajet hari ini, Najib berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah susulan daripada Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini, demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan menjaga imej dan kredibiliti sektor awam.

Sementara itu, bagi jururawat sebuah hospital kerajaan Siti Shuhada Md Tajuddin, 33, berkata pengumuman bonus setengah bulan itu sudah memadai kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam.

"Apa jua keputusan yang dibentangkan dalam bajet ini saya terima sebab saya tahu kerajaan melakukan yang terbaik untuk penjawat awam," katanya.

Muhamad Abdul Kadir, 32, seorang tentera, berkata beliau berpuas hati dengan kandungan Bajet 2014.
Katanya cadangan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan merupakan satu transformasi oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam.
-- BERNAMA

Friday, October 11, 2013

LARIAN STATISTIK 2013
STATSRUN2013
SEMPENA TAHUN STATISTIK ANTARABANGSA

Salam sejahtera.


Sebagaimana yang dimaklumkan terdahulu, LARIAN STATISTIK 2013 (STATSRUN2013) akan di adakan pada Sabtu, 26 Oktober 2013 bertempat di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya. Persiapan penganjuran sedang giat dilaksanakan.

Untuk makluman tuan/puan, bagi menyertai Program Larian ini, semua peserta akan dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM25.00 dan akan dibekalkan baju-T larian.

Sebagai tanda sokongan KEPP-STATS kepada penganjuran program ini, Majlis Jawatankuasa Kerja KEPP-STATS telah bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM10.00 kepada ahli-ahli yang mengambil bahagian dalam program larian ini. Bayaran subsidi ini akan dibayar setelah selesai program setelah MJKK menyemak senarai pendaftaran terkini oleh pihak penganjur. Bayaran subsidi ini tidak meliputii penyertaan LARIAN CERIA (FUN RUN).

Sehubungan itu, MJKK menyeru semua ahli KEPP-STATS untuk sama-sama menjayakan Program Larian ini. Bagi yang boleh hadir menyertai program larian dipersilakan hadir dan yang tidak dapat hadir diharap dapat menyumbang/menyokong dengan membeli Baju-T Larian sebagai tanda kenang-kenangan.


Sekian, terima kasih.


ROSLAN BIN NORDIN
SETIAUSAHA KEPP-STATS
merangkap SETIAUSAHA 2
J/K SAMBUTAN TAHUN STATISTIK ANTARABANGSA 2013





BAJET 2014: CUEPACS MINTA BONUS, KENAIKAN BEBERAPA ELAUN TETAP


Bernama
10/10/2013

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memperuntuk pemberian bonus dua bulan dan menaikkan beberapa elaun tetap termasuk perumahan dan sara hidup kepada 1.4 juta penjawat awam dalam Bajet 2014.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kerajaan perlu memberi bonus dan kenaikan elaun itu berikutan peningkatan kos sara hidup terutamanya setelah subsidi petrol dikurangkan baru-baru ini.

 
Menurutnya Cuepacs amat berharap imbuhan tetap perumahan dinaikkan mengikut gred setelah 15 tahun berada pada paras sama selain mengambil kira ketidakmampuan golongan rendah dan sederhana memiliki rumah berikutan harga semakin meningkat kini.
 
Cuepacs turut memohon elaun sara hidup (Cola) antara kawasan bandar dan luar bandar diselaraskan kepada RM300 kerana kos sara hidup di semua kawasan tidak banyak berbeza.
 
Kongres itu juga mahukan kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus berikutan kenaikan harga rumah.
 
Sementara itu, Omar berkata Cuepacs menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mengenai pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan sederhana yang dijangka diumum dalam bajet kali ini.
 
Bagaimanapun, Omar berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak mekanisme subsidi kepada golongan itu kerana mereka tidak layak menerima bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikmati golongan berpendapatan rendah.
 
"Sudah tentu ini berita gembira buat kita jika ia diumumkan. Namun, kita berharap lebih banyak bantuan atau subsidi lain diumum untuk penjawat awam," katanya.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membentangkan Bajet 2014 pada 25 Okt ini.
 
-- BERNAMA