Friday, July 13, 2012

CUEPACS BINCANG BONUS AIDILFITRI UNTUK 1.4 JUTA PENJAWAT ISNIN INI


KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Tuntutan bonus Aidilfitri untuk 1.4 juta penjawat awam di negara ini adalah antara isu yang akan dibincang pada mesyuarat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Isnin ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata permintaan bonus itu akan dibincang dari pelbagai sudut termasuk jumlah bayaran.

Cuepacs juga akan membincangkan dasar baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Omar mengulangi pendirian Cuepacs yang tidak bersetuju dengan dasar itu kerana dianggap menutup peluang kerjaya untuk lepasan SPM, selain boleh membawa masalah kepada SPA pada masa depan.

"Selain itu, Cuepacs juga membantah dasar SPA yang membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini," katanya.

Katanya keputusan Cuepacs berhubung kedua-dua dasar itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini pada 16 Julai.

Selain beramah mesra, beliau berkata Cuepacs berharap Ali dapat memberikan pendapat dan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam.

Tuesday, July 3, 2012

NOTIS MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN SESI 2012-2014

Semua Ahli Kesatuan Pembantu Perangkaan
Kerajaan Semenanjung Malaysia

Tuan/Puan,


Peraturan 9(2) - NOTIS PERMULAAN
MESYUARAT AGUNG DWI-TAHUNAN
DAN PEMILIHAN PEGAWAI UNTUK SESI 2012-2014
KESATUAN PEMBANTU PERANGKAAN KERAJAAN
SEMENANJUNG MALAYSIA [KEPP-STATS]

Dengan hormatnya saya diarahkan memaklumkan kepada saudara/saudari bahawa Majlis Jawatankuasa Kerja yang bermesyuarat khas pada 27 Jun 2012 telah menetapkan bahawa Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan dan Pemilihan Pegawai untuk Sesi 2012-2014 akan di adakan pada Khamis, 20 September 2012 bertempat di Dewan Anggerik Aras 2, Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya bermula jam 8.30 pagi.

2.       Sehubungan itu, bersama-sama ini disertakan Borang Pencalonan Majlis Jawatankuasa Kerja 2012/2014 (Lampiran A) dan Borang Usul (Lampiran B) untuk tindakan tuan/puan selanjutnya.

3.       Sila ambil perhatian untuk mengembalikan borang-borang di perenggan 2 kepada Setiausaha mengikut ketetapan berikut:         
a.       Lampiran A - selewat-lewatnya Selasa,31 Julai 2012 (29 hari).
b.       Lampiran B – selewat-lewatnya Khamis, 13 September 2012
          (7 hari sebelum mesyuarat Agung)
Penghantaran awal dialu-alukan dan penerimaan lewat tidak akan diterima
dan dianggap batal.

4.       Kerjasama dan perhatian saudara/saudari dalam perkara ini amatlah dihargai bagi melicinkan persediaan mesyuarat ini.

Sekian, terima kasih.

“PEKERJA TIANG SERI NEGARA”
“PEKERJA BERIINOVATIF PENGGERAK TRANSFORMASI”
“PENERIMA ANUGERAH KESATUAN SEKERJA CONTOH (SEKTOR AWAM) 2012”

(ROSLAN BIN NORDIN)
SETIAUSAHA KEPP-STATS 2010/2012