BAJET 2014: CUEPACS MINTA BONUS, KENAIKAN BEBERAPA ELAUN TETAP
Bernama
10/10/2013
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memperuntuk pemberian
bonus dua bulan dan menaikkan beberapa elaun tetap termasuk perumahan
dan sara hidup kepada 1.4 juta penjawat awam dalam Bajet 2014.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata kerajaan perlu memberi bonus dan kenaikan elaun itu berikutan peningkatan kos sara hidup terutamanya setelah subsidi petrol dikurangkan baru-baru ini.
Menurutnya Cuepacs amat berharap imbuhan tetap perumahan dinaikkan
mengikut gred setelah 15 tahun berada pada paras sama selain mengambil
kira ketidakmampuan golongan rendah dan sederhana memiliki rumah
berikutan harga semakin meningkat kini.
Cuepacs turut memohon elaun sara hidup (Cola) antara kawasan bandar dan
luar bandar diselaraskan kepada RM300 kerana kos sara hidup di semua
kawasan tidak banyak berbeza.
Kongres itu juga mahukan kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman
perumahan untuk penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus
berikutan kenaikan harga rumah.
Sementara itu, Omar berkata Cuepacs menyambut baik kenyataan Timbalan
Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mengenai pelepasan cukai untuk
golongan berpendapatan sederhana yang dijangka diumum dalam bajet kali
ini.
Bagaimanapun, Omar berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak
mekanisme subsidi kepada golongan itu kerana mereka tidak layak menerima
bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikmati
golongan berpendapatan rendah.
"Sudah tentu ini berita gembira buat kita jika ia diumumkan. Namun, kita
berharap lebih banyak bantuan atau subsidi lain diumum untuk penjawat
awam," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membentangkan Bajet 2014 pada 25 Okt ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment