Wednesday, December 21, 2011

PERDANA MENTERI SETUJU TANGGUH SBPA - OMAR OSMAN

22 Disember 2011

Utusan Malaysia
22/12/2011 12:53pm

PUTRAJAYA 22 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini hari.
Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu.

Sunday, December 18, 2011

CUEPACS minta tangguh SBPA





KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.

"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini.

Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.
"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.

"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.

Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.
"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.

Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA.

Omar Osman (dua dari kanan) menunjukkan siaran akhbar mengenai bantahan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam kepada sebahagian penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan). - BERNAMA

Friday, December 16, 2011

PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM ANJURAN CUEPACS

TAJUK : BANTAHAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA)

TARIKH: 18 .12. 2011 (AHAD)
MASA: 3.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN CIDB, JALAN CHAN SOW LIN, CHERAS,
KUALA LUMPUR


SEMUA PENJAWAT AWAM DIJEMPUT HADIR

BEBERAPA OPSYEN SBPA DI BANTAH

CUEPACS minta 1.4 juta kakitangan awam tidak tandatangan surat tawaran JPA

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu. Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan. Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari bermula kelmarin membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana, di sini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara.

Katanya, lima inti pati digariskan melalui bantahan untuk dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka ditemui pada 19 Disember ini, antara lain meliputi desakan pembatalan Exit Policy selain penjelasan kedudukan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus seperti diumumkan melalui SBPA baru-baru ini.

“Buat masa sekarang, kita membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA dan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatanganinya terlebih dulu sebelum rundingan antara CUEPACS dan Perdana Menteri diadakan.
“Kita akan tetapkan temu janji pada 19 Disember ini, yang mana semua 125 perwakilan kongres seluruh

negara dijangka menemui Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci permintaan serta desakan CUEPACS dalam SBPA,” katanya.

SBPA diumumkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu dijangka membawa pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Ditanya mengenai lima tuntutan terbabit, Omar berkata selain pembatalan Exit Policy dan penjelasan mengenai kedudukan pelarasan gaji, CUEPACS turut mendakwa tiada sebarang rundingan bersama diadakan antara kongres itu dan JPA yang dilihat memungkinkan wujudnya unsur berat sebelah.

“Kita juga nasihatkan pihak lain yang tiada kaitan dengan CUEPACS supaya tidak campur tangan dalam soal perjuangan kongres kerana ini hak kami untuk pertahankan kepentingan semua penjawat awam,” katanya.

CUEPACS MAHU TEMUI NAJIB ISNIN INI BERHUBUNG OPSYEN SBPA

KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang disifatkan tidak begitu adil.

Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.

Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.

Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang adil.

BERNAMA

SBPA : CUEPACS BANTAH, ARAH STAF KERAJAAN TIDAK TANDATANGAN BORANG OPSYEN

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cuepacs hari ini mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu depan.

Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda berkata pihaknya bukan menolak SBPA tetapi membantah pelaksanan opsyen kerana tidak cukup maklumat dan kurang penjelasan khususnya perubahan gaji.

“Kami memutuskan untuk membantah pelaksanaan opsyen SBPA, kita mahu jumpa perdana menteri pada 19 Disember ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Perlis.

Seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa dua minggu mulai esok untuk menerima opsyen sistem SBPA.

Azih berkata pihaknya akan menjelaskan kepada perdana menteri alasan-alasan pihaknya membantah pelaksanaan opsyen dan beberapa perkara lain yang berkaitan.
 
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adakan program jelajah, tetapi tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada maklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.

“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” kata beliau.

Cuepacs mengadakan mesyuarat kongres di Kuala Perlis hari ini bagi membincangkan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Opsyen menerima SBPA akan dibuka mulai esok. Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara lain berkaitan peratusan kenaikan gaji dan dasar pemisah atau ‘exit policy’.
Pekeliling SBPA dikeluarkan 7 Disember lalu.

Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, “(mesyuarat) kongres (di Kuala Perlis) khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.”
“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya.

Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

“Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.

Tambah beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambah beliau.

Friday, October 28, 2011

MESYUARAT AGUNG LUARBIASA KEPP-STATS 2011

Mesyuarat Agung Lurabiasa KEPP-STATS 2011 telah dilangsung dengan jayanya pada Khamis 28 September 2011 bertempat di Dewan Anggerik, Jabatan Perangkaan Malaysia, Aras 2, Blok C6, Kompleks C, Putrajaya. Seramai 228 daripada 639 orang ahli telah hadir ke mesyuarat berkenaan. Kuoram mesyuarat adalah 160 orang.

YBhg. Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hasan, Ketua Perangkawan Malaysia telah hadir menyampaikan amanat dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Luarbiasa KEPP-STATS 2011.

 Ahli-ahli sedang mendaftar kehadiran

Ketibaan YBhg. Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hasan, Ketua Perangkawan Malaysia

Bacaan doa oleh Saudara Rosli bin Nordin
Ketua Perangkawan dan hadirin mengambil tempat
Ucapan aluan oleh Saudara Murdafi bin Ithnin, Presiden KEPP-STATS

Amanat dan Ucapan Perasmian oleh YBhg. Ketua Perangkawan Malaysia

Presiden KEPP-STATS mempengerusikan Mesyuarat Agung Luarbiasa KEPP-STATS 2011

Tuesday, September 27, 2011

MESYUARAT AGUNG LUARBIASA KEPP-STATS 2011

Mesyuarat Agung Luarbiasa KEPP-STATS 2011 akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:

Tarikh:          Khamis, 29 September 2011
Masa:           9.00 pagi
Tempat:        Dewan Anggerik,
                     Aras 2, Blok C6, Kompleks C,
                     Jabatan Perangkaan Malaysia,
                     62514 Putrajaya.

Semua ahli dijemput hadir menunaikan tanggung jawab.

Mesyuarat akan dirasmikan oleh YBhg. Dr. Haji Abdul Rahman bin Hasan, Ketua Perangkawan Malaysia.


"KESATUAN KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

ROSLAN BIN NORDIN
SETIAUSAHA KEPP-STATS

KURSUS KEPIMPINAN DAN KENEGARAAN BIRO TATANEGARA (BTN), JABATAN PERDANA MENTERI

Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kesatuan Pegawai Eksekutif (KEPAK) telah menganjurkan kursus Kepimpinan dan Kenegaraan dari 22 hingga 25 September 2011 bertempat di Kem Bina Negara, Sampadi, Sarawak.

KEPP-STATS telah menghantar 10 orang peserta iaitu:

1.     Murdafi bin Ithnin (Presiden);
2.     Roslan bin Nordin (Setiausaha)
3.     Noor Arfikeen binti Ariffin (Pen. Setiausaha)
4.     Romli bin Yahaya (AJK)
5.     Zamri bin Zakaria (AJK)
6.     Fauzi bin Mustaffa (AJK)
7.     Md. Rashid bin Md. Said (Wakil JP Selangor)
8.     Mohd. Idris bin Mohd. Anoar (Wakil JP WPKL)
9.     Asiah binti Hassan (Wakil BPE)
10.   Rosmawati binti Kassim (Wakil BKKP) 

Kos perjalanan ditanggung oleh Jabatan manakala penginapan, makan dan minum disediakan oleh BTN.

BAJET 2012: NAJIB KAJI BONUS LUMAYAN ATAU NAIK GAJI SEKTOR AWAM

Malaysia Insider
Oleh Jahabar Sadiq
Editor
September 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Seri Najib Razak sedang mempertimbangkan bonus lumayan atau kenaikan gaji bagi 1.3 juta kakitangan kerajaan — bakal diumumkan menerusi Bajet 2012 untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan juga menjamin sokongan tenaga kerja sektor awam pada pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri telah meminta Kementerian Kewangan agar mengkaji kos kedua-dua opsyen itu.

Langkah itu mirip pendekatan diambil bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007, setahun sebelum menjelang pilihan raya umum ke-12.

Ketika itu Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.

“Najib sedang mempertimbangkan bonus satu bulan setengah untuk dibayar akhir tahun ini atau menaikkan gaji apabila mengumumkan Bajet 2012. Ia bajet menggunakan segala wang yang ada,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Najib yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.

Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Ia melibatkan kerajaan kos RM2 bilion.

Kakitangan awam lazimnya dilihat sebagai asas sokongan bagi Barisan Nasional (BN) tetapi perikatan itu berhadapan dengan prestasi buruk pada Mac 2008 meskipun Abdullah mencatatkan penguasaan 91 peratus kerusi di Parlimen.

Najib berusaha untuk keluar daripada situasi 2008 dengan mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk mahu memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagaimana diumumkan Khamis lalu.

“Perdana Menteri perlu mengatasi isu-isu asas termasuk ekonomi. Bajet akan mengatasi isu sara hodup selepas pemotongan subsidi baru-baru,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini Cuepacs, kesatuan sekerja induk sektor awam, menuntut bonus dua bulan.

Sunday, June 19, 2011

CUEPACS MINTA KENAIKAN PANGKAT SELEPAS KURSUS

Bernama
2011/06/19

ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (PROSPEK), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

"Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif PROSPEK tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman. Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan. "Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam PROSPEK konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini.


Beliau berkata, CUEPACS sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pelaksanaan PROSPEK.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam PROSPEK supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
"Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama," katanya.

Omar juga berkata, CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180. - BERNAMA

Wednesday, June 8, 2011

PROSPEK DIHARAP MAMPU BERI LEBIH PELUANG KENAIKAN PANGKAT PENJAWAT AWAM - CUEPACS

KUALA TERENGGANU, 7 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) mampu memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata dengan pelaksanaan sistem baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini, ia dapat bertahan lebih lama berbanding PTK yang hanya dilihat berjaya semasa tiga tahun pertama pelaksanannya.

"Sebelum ini, PTK telah dilaksanakan selama lapan tahun dan ia hanya berjalan lancar pada tiga tahun pertama. Kemudian sistemnya makin goyah dan tidak ke mana, jadi kita mengharapkan Prospek sebagai satu transformasi untuk pemantapan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau menghadiri majlis perasmian seminar Pengurusan Kewangan Kumpulan Pelaksana (Sokongan I & II) Badan Berkanun Malaysia bertajuk "Cabaran Pengurusan Kewangan Dalam Era Globalisasi".

Jelasnya, apa yang terdapat dalam PTK sebelum ini tidak akan hilang tetapi melalui transformasi penambahbaikan dengan memberi penekanan terhadap beberapa perkara termasuk kompetensi dan ganjaran.

Omar berkata dengan itu penjawat awam boleh dinaikkan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan malah mereka juga akan dinilai jika hadir mana-mana seminar yang berkaitan dengan jawatan mereka sendiri.

Ganjaran kenaikan pangkat juga akan diberikan berasaskan aspek sahsiah, sukan, disiplin dan had pencapaian mereka berasaskan penilaian yang dilakukan oleh panel penilai yang akan dilantik terdiri daripada wakil ketua jabatan, pegawai kerajaan supaya ia lebih telus, katanya.

Beliau berkata dari semasa ke semasa, penambahbaikan akan dilakukan supaya sistem Prospeks lebih efisien serta kompetensi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Katanya lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Friday, May 20, 2011

PROGRAM JOM GI CANDAT 2011

Program JOM GI CANDAT 2011 anjuran bersama Kesatuan Pembantu Perangkaan (KEPP-STATS) dan Kelab Sukan Statistik (KSS) telah dilangsungkan dari 14 hingga 16 Mei 2011. Seramai 30 orang peserta telah menyertai program ini.

Sempena program ini juga, peserta program telah dibawa melakukan kunjungan hormat ke Pejabat JP Terengganu.

Peserta program telah menaiki tiga buah bot yang berlepas dari Jeti LKIM Marang, Terengganu untuk memulakan aktiviti mencandat. Pengarah JP Terengganu telah turut hadir untuk melepaskan bot-bot berkenaan.

Walaupun beberapa peserta yang kecundang (mabuk) dek lambungan ombak, namun jumlah sotong yang berjaya dicandat adalah sekitar 20 kg dan 10 ekor ikan (ebek, pari dsbnya) berjaya didaratkan.

Kejayaan penganjuran program ini telah mencetuskan cadangan supaya ianya menjadi acara tahunan Jabatan.
















Pihak KEPP-STATS dan KSS mewakili semua peserta mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan kepada Pengurusan Jabatan terutamanya Y.Bhg. Dato' Hjh. Wan Ramlah binti Wan Abd. Raof, Ketua Perangkawan Malaysia yang telah memberikan kelulusan penganjuran program dan kunjungan hormat ke JP Terengganu. Terima kasih juga kepada En. Mohd. Suhaimi bin Mohd. Yunus, Pengarah JP Terengganu kerana sudi menerima kunjungan dan penyediaan minum pagi. Tidak ketinggalan kepada KSS yang telah sudi meluluskan sumbangan berjumlah RM266.00 untuk menampung kos minuman sepanjang program dijalankan.

PROSPEK PENGGANTI PTK BERKUATKUASA 1 JULAI

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuatkuasa 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

"Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan pelaksanaan boleh dibuat atau dirunding dari semasa ke semasa.

"Itu jaminan saya," katanya pada majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPA-Cuepacs Mengenai Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan PTK di sini Khamis.

Turut hadir Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs secara bersama bersetuju bahawa falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan memperluaskan skopnya meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

"Pengenalan penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru ini bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata selain dimensi asas kompetensi seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, kedua-dua pihak bersetuju dimensi tambahan diperkenalkan iaitu kreativiti dan inovasi selaras dengan nilai semasa yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan negara.

Katanya kaedah penilaian bagi kumpulan pelaksana tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa yang akan menilai kompetensi yang diperlukan pada sesuatu jawatan.

Katanya hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi 'cemerlang dan berpotensi tinggi', 'memenuhi kompetensi dan berpotensi' atau 'memerlukan pembangunan'.

Abu Bakar berkata pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan, berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya.

"Faedah pembangunan diri termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang pegawai serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain.

"Manakala faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan untuk kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan di dalam atau di luar negeri," katanya.

Katanya pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred yang berkenaan.

"Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan, Latihan Berteraskan Kompetensi dan seumpamanya," katanya.

Abu Bakar berkata ketua perkhidmatan dan ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan.

Katanya pada keseluruhannya penilaian kompetensi baru ini adalah berbentuk program yang bersepadu bermula dengan pengenalpastian kompetensi pegawai di gred lantikan yang diikuti dengan pelbagai program pembangunan diri termasuk bimbingan, pementoran dan latihan sesuai dengan keperluan pembelajaran pegawai yang berkenaan.

"Setelah berada di gred kenaikan pangkat, pegawai seterusnya akan melalui program pembangunan kompetensi dan potensi yang dirancang secara sistematik sehingga ke akhir kerjaya seseorang pegawai," katanya.

Katanya pada masa ini, pihak JPA sedang meneliti draf akhir pekeliling berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan pada akhir bulan ini.

Mengulas mengenai tiga permohonan Cuepacs, Abu Bakar berkata pihaknya tidak dapat menjanjikannya kerana setiap perancangan kewangan perlu dilaksanakan dengan baik.

Terdahulu, Omar dalam ucapannya memohon kepada JPA supaya kenaikan pangkat secara time-based dikekalkan, bukan berdasarkan kepada kompetensi tertentu; dan kedua perlu ada kenaikan pangkat secara istimewa yang tidak tertakluk kepada jawatan kosong.

"Selepas pergi mana-mana kursus atau meningkatkan kompetensi tetapi balik tidak juga dapat kenaikan pangkat. Jadi, kita mahu mana-mana penjawat awam yang pergi bagi meningkatkan kompetensi dan potensi, supaya balik tanpa temuduga terus mendapat kenaikan yang cemerlang dan istimewa," katanya.

Katanya yang ketiga ialah insentif diberikan apabila seseorang pengawai itu mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya.

Thursday, May 5, 2011

PROGRAM CANDAT 2011 DAN KUNJUNGAN HORMAT KE JP TERENGGANU

KEPP-STATS dengan kerjasama Kelab Sukan Statistik (KSS) akan menganjurkan Program Mencandat Sotong 2011 dan Kunjungan Hormat ke JP Terengganu dari 14 hingga 16 Mei 2011.

Program ini telahpun diluluskan oleh Y.Bhg. Dato' Ketua Perangkawan.

Seramai 32 orang peserta akan mengikuti program ini.

Pengarah JP Terengganu, Encik Mohd. Suhaimi bin Mohd. Yunus akan melepas secara rasmi bot candat pada 15 Mei 2011 jam 5.00 petang di Jeti LKIM Marang.

Berita terkini akan dikeluarkan setelah program selesai dijalankan

Wednesday, May 4, 2011

SAMBUTAN HARI PEKERJA 2011 ANJURAN CUEPACS

Sambutan Hari Pekerja 2011 anjuran CUEPACS telah disambut bermula 29 April 2011 hingga 01 Mei 2011. Pelbagai acara telah dilansungkan iaitu:

Jumaat (29 April 2011)
8.00 pagi     -    i.   Lawatan 1 (Sekitar Kuala Kangsar)
                        ii.   Lawatan 2 (Sekitar Batu Gajah)

3.00 ptg.      -   Majlis Dailaog Bersama Pemimpin CUEPACS
                        Dewan Bulan Sabit Merah, Jalan Kompleks Sukan, Ipoh.

8.00 mlm      -  Forum Perdana "Bekerja adalah satu ibadah"
                        Masjid Negeri, Ipoh.

Sabtu (30 April 2011)
7.00 pagi      -  Sukan CUEPACS
                        Padang Ragbi, Majlis Bandaran Ipoh, Ipoh.

8.00 mlm      -  Majlis Makan Malam Bersama Menteri Besar Perak
                        Kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh.

Ahad (01 Mei 2011)
7.30 pagi      -  Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2011
                        Stadium Indera Mulia, Ipoh.

KEPP-STATS telah menghantar 16 wakil terdiri daripada 8 (ibupejabat), 3 (Minlon), 2 (WPKL) dan 3 (JP Perak) dan hanya menyertai Majlis Makan Malam dan sambutan hari pekerja. Namun agak mengecewakan dengan penyertaan ahli dari JP Perak dan tiada yang hadir semasa majlis makan malam bersama Menteri Besar.

Disertakan gambar sekitar sambutan hari pekerja 2011





Thursday, April 28, 2011

CUEPACS MINTA KERAJAAN SELARAS GAJI UNTUK IMBANGI KENAIKAN HARGA BARANG

Bernama
28/4/2011


KANGAR, 27 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji tahun ini, berikutan kenaikan harga barangan yang semakin membebankan penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan harga barang itu menyebabkan perbelanjaan penjawat awam bertambah lebih RM500 setiap bulan sedangkan pendapatan bulanan tidak berubah.

Penyelarasan yang boleh dibuat dengan mengambil kira purata perbelanjaan tambahan penjawat awam itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka, kata Omar kepada pemberita, di sini Rabu.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir Pelajaran (Keptan) Perlis, berkata Cuepacs juga mencadangkan agar bantuan sara hidup (Cola) semua penjawat awam diselaraskan kepada RM300 sebulan.

Ini kerana katanya, kos sara hidup di luar bandar juga semakin meningkat seperti di bandar.

Omar berkata Cuepacs juga mencadangkan elaun tetap perumahan untuk penjawat awam yang bergred 40 dan ke bawah dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM180 sekarang.

"Mana ada rumah yang boleh disewa RM180 sebulan di kawasan bandar malah di luar bandar juga sewa rumah telah meningkat," katanya.

Selain itu, kesatuan tersebut juga menyarankan had umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Thursday, March 24, 2011

CUEPACS CADANG SISTEM GAJI SEBARIS

Bernama 24/03/2011 6:08pm

PUTRAJAYA 24 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Sistem Gaji Sebaris diperkenalkan dalam kajian semula terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM), supaya penjawat awam lebih produktif dalam menunaikan tugas mereka.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan agar kenaikan pangkat dan gaji penjawat awam mengambil kira penglibatan mereka dalam aktiviti luar seperti kesukarelaan, kemasyarakatan dan sukan.

Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan dalam pertemuan antara pihaknya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 4 April 2011.

"Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji semula Sistem Saraan Malaysia yang kini pun masih banyak dipertikaikan.

"Pada peringkat awal, ini antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Cuepacs kepada kerajaan untuk kajian semula terhadap SSM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini

Wednesday, March 23, 2011

GANJARAN PENUH

Berita Harian - 23 Mac 2011
Oleh Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim

Penjawat awam pilih bersara awal diberi imbuhan sekali gus: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.

Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya, berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. "Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.

Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.

Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya.
 
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, menteri-menteri Kabinet.
Majlis yang dihadiri kira-kira 5,757 penjawat awam itu turut disaksikan secara langsung oleh 570 penjawat awam di Sarawak dan Sabah yang mengikutinya secara sidang video di kedua-dua negeri.

Mengulas keistimewaan yang bakal dinikmati pesara Skim KWSP itu, Najib berkata, ia tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

Katanya, ia juga hanya boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.

Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

"Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali.

"Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.

Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun ini, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.

Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan.

Monday, March 14, 2011

TUGAS HAKIKI, KOMPETENSI, DAN KPI ANTARA ELEMEN DALAM SISTEM PENILAIAN BARU -JPA

Bernama
14/3/2011


KUCHING, 14 Mac (Bernama) -- Sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) mulai 1 Julai ini akan menilai semua penjawat awam berdasarkan jenis perkhidmatan dan tugas hakiki masing-masing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata di bawah format baru itu, calon juga akan dinilai berdasarkan kompetensi dan elemen Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu berkenaan.

"Sistem penilaian baru ini tidak seperti konsep 'seragam untuk semua' yang digubal serta digunakan oleh semua jabatan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Negeri Sarawak, di sini, Isnin.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dalam peringkat pengolahan format baru itu dengan mendapatkan input dan maklum balas dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Katanya proses menggubal format baru itu sedang berjalan lancar dan yakin kaedah baru penilaian penjawat awam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mulai 1 Julai ini.

"Sejajar dengan usaha kerajaan mentransformasikan perkhidmatan awam, kami perlu mengenali struktur kompleks perkhidmatan awam. Kita perlu semua jenis pendekatan bagi menyesuaikan keunikan perkhidmatan yang sedia ada," katanya.

Perjumpaan itu dihadiri oleh lebih 2,000 penjawat awam dari jabatan dan badan berkanun peringkat persekutuan dan negeri.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Yahaya Basimin.

Ujian PTK, yang diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Nov 2002, mengundang pelbagai kontroversi dan persoalan kerana dikatakan ramai penjawat awam yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas, mengumumkan pemansuhan PTK dan digantikan dengan sistem penilaian baru yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam.

Wednesday, March 9, 2011

CUEPACS KEMUKA 4 TUNTUTAN BARU

Utusan Malaysia
8/3/2011


SANDAKAN 8 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan empat tuntutan baru tahun ini dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan penjawat awam.
 
Ia termasuklah membuat semakan semula gred penjawat awam dan pemberian elaun wilayah, menyambung kembali perkhidmatan pekerja kontrak di bawah Kementerian Pelajaran, selain mengkaji semula pemberian insentif kepada kakitangan kesihatan yang dalam status on call (siap siaga).

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, kesemua tuntutan yang dikemukakan itu dilihat perlu diselaraskan semula dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

‘‘Penjawat awam memerlukan semakan gred baru. Selain itu, kita juga meminta kerajaan mengkaji semula elaun wilayah yang hampir 17 tahun tidak ada penambahbaikan.

‘‘Perkara ini perlu dikaji semula kerana kos hidup di semua tempat, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak semakin meningkat. Jika ia masih di tahap lama, sudah pasti kos sara hidup dengan hasil pendapatan penjawat awam tidak seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ceramah anjuran Sabah Medical Service Union (SMSU) Cawangan Sandakan di Hospital Duchess of Kent di sini.

Hadir sama, Setiausaha CUEPACS Sabah, Lawrence Vun dan Presiden SMSU Sabah, Maiman Muntial.

Menurut Omar, CUEPACS akan meminta Kementerian Kesihatan mengkaji semula elaun ataupun insentif kepada penjawat awam yang dalam status bersiap-siaga.

Katanya, berdasarkan maklum balas oleh kelompok penjawat awam berkenaan, mereka tidak diberi elaun ataupun insentif sama ada dipanggil bekerja ataupun tidak ketika dalam tempoh on call.

‘‘Mana-mana penjawat awam yang kena stand by, sama ada dipanggil bekerja ataupun tidak, mereka perlu dibayar elaun ataupun setidak-tidaknya mendapat insentif,” jelasnya.

Wednesday, March 2, 2011

1,086 penjawat awam muflis

Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit.

“Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.

Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit. Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.

“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, " katanya.
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/03/03

PENJAWAT AWAM PERLU BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN ELAK BANKRAP - CUEPACS

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata pendedahan bahawa seramai 1,086 penjawat kerajaan diisytihar bankrap dianggap sebagai angka yang tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.

"Apabila seorang penjawat awam diisytihar bankrap, dia akan ditamatkan perkhidmatan dan kesemua faedah termasuk pencen akan ditarik balik.

"Jadi kita nasihatkan kepada penjawat awam agar lihat dulu pendapatan bulanan dan kena berbelanja atas kebijaksanaan. Janganlah sampai menghuru-harakan keluarga apabila diisytihar bankrap nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Cuepacs di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Omar berkata pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengisytiharan bankrap itu disebabkan penjawat awam menjadi penjamin kepada pihak lain yang tidak mampu melangsaikan pinjaman.

Justeru, beliau berkata taklimat pada hari ini diharap dapat memberi lebih penerangan dan kesedaran kepada penjawat awam mengenai kebankrapan agar perkara itu dapat dielakkan pada masa hadapan.

Daripada segi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pula, Omar berkata ia untuk memaklumkan penjawat awam bahawa terdapat saluran yang selamat untuk mereka memberi maklumat mengenai sebarang ketirisan dalam perkhidmatan awam.

Ia juga, katanya dijangka dapat mengurangkan sindrom 'surat layang' kerana selain melindungi identiti pelapor, pihak yang melapor juga boleh diambil tindakan sekiranya perkara yang dilapor didapati tidak benar.

Beliau berkata taklimat seperti itu juga akan diadakan di seluruh negara secara berperingkat mengikut zon agar kesemua pemimpin dalam Cuepacs dapat menyertainya dan seterusnya perkara memberi penerangan atau mengadakan seminar untuk memberi penjelasan kepada penjawat awam di bawah seliaan mereka pula.

-- BERNAMA

1,086 PENJAWAT AWAM BANKRAP DAN RAMAI DIBELENGGU HUTANG

Bernama
3/2/2011


PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu.

Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia itu adalah Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Justeru Liew berkata taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam bagaimana untuk menangani isu-isu berkaitan dengan hutang dan kebankrapan.

Beliau berkata ia juga bagi memberi penerangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan telah mula dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama, serta taklimat mengenai Bantuan Guaman untuk penjawat awam.

"Ahli-ahli Cuepacs yang berpendapatan kurang dari RM25,000 setahun boleh mendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes-kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.

"Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, February 16, 2011

CUEPACS MAHU SISTEM LEBIH BAIK GANTI PTK

KUALA TERENGGANU 15 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan memastikan sistem penilaian baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) nanti dilaksanakan dengan lebih mudah dan bersekali dengan sistem gaji.

Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Azih Muda berkata, ia bagi mengelakkan sistem baru yang dijangka diumumkan oleh kerajaan nanti menjadi kekangan kepada anggota sektor awam dalam meneruskan kerjaya mereka.

Katanya, CUEPACS turut mencadangkan agar kerajaan menyemak semula gaji jawatankuasa Kabinet yang terbukti lebih berkesan dalam sektor awam serta tidak menimbulkan banyak rungutan.

Menurutnya, sistem baru itu perlulah lebih fokus kepada tugas yang dilakukan oleh penjawat awam dan juga mengambil kira kekananan dan tidak semata-mata menggunakan kaedah merit untuk kenaikan pangkat.

"Sebab itu CUEPACS turut mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem gaji matrik yang ada sekarang diganti dengan sistem gaji selapis yang mampu memenuhi tempoh perkhidmatan seseorang sebelum bersara pada umur 58 tahun.

"Antara satu mata gaji yang sesuai nanti mungkin boleh diadakan sekatan kecekapan yang memerlukan seseorang penjawat awam berusaha meningkatkan kecekapan dan kemahiran mereka untuk tujuan anjakan ke mata gaji lebih tinggi," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi CUEPACS Bahagian Terengganu berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ahli jawatan kuasa CUEPACS Bahagian Terengganu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat sini kelmarin.

Katanya, CUEPACS tidak mahu lagi melihat kegagalan agensi pelaksana PTK berulang apabila kerajaan melaksanakan sistem baru itu nanti dan untuk itu kerajaan perlu mengambil kira pandangan agensi dan kesatuan sekerja dalam merangka sistem tersebut.

Selain itu Azih berkata, CUEPACS turut menerima cadangan daripada kesatuan sekerja yang mewakili anggota di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) agar hanya satu skim perkhidmatan diwujudkan di PBT.

Katanya, pemantapan skim perkhidmatan boleh dilakukan oleh kerajaan dengan mengambil kira keperluan yang ada di PBT itu sendiri yang berjumlah hampir 200 PBT termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Apabila ada satu skim sahaja akan memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada anggota di PBT dan cadangan ini merupakan satu yang unik kerana belum ada cadangan seumpamanya dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini,'' jelasnya.

Sementara itu kerajaan juga diminta menyelesaikan kedudukan pengajar membalak gred G17 di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan menjadikannya gred lebih terbuka untuk bertugas di agensi lain.

Pada masa ini tambahnya hanya terdapat 10 orang pengajar membalak di negara ini iaitu yang bertugas di Pusat Latihan Membalak Terengganu yang terhad dan tidak berpeluang untuk meningkatkan kerjaya mereka.