Thursday, October 5, 2017

Enam falsafah perkhidmatan awam menuju TN50

Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam perlu berpegang kepada enam Falsafah dan Garis Besar Haluan Menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50) ke arah merencana masa depan negara bagi tempoh 30 tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak.
Falsafah dan garis besar berkenaan adalah menjadikan kerangka maqasid syariah sebagai asas pembentukan negara; tahun 2017 sebagai tahun penyampaian; berpegang kepada prinsip wala' dan kesetiaan; melaksanakan budaya kerja di luar kelaziman; bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat 4.0 (Industri 4.0) dan 'par exellence' duniawi serta ukhrawi.
Berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 (MAPPA XV) dengan tema 'Aspirasi Perkhidmatan Awam Menuju TN50: Penyampaian Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Negara' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata:
"Aspek penyampaian perlu berdarah daging dan sebati dengan perkhidmatan awam sampai kepada tahap apabila disebut mengenai penyampaian yang cekap, ia harus sinonim dengan perkhidmatan awam Malaysia. Itulah setinggi-tinggi matlamat yang kita dambakan.
"Justeru, pengukuhan dan pemerkasaan perkhidmatan awam harus tertumpu dengan menjadikan perkhidmatan awam lebih berfokus kepada rakyat, inklusif dengan penyertaan komuniti dan berbudaya kerja serta perkhidmatan 'par excellence', selain mempunyai nilai murni yang membawa kepada keutuhan organisasi," katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa serta lebih 5,000 penjawat awam.
Perdana Menteri berkata, prinsip wala' dan kesetiaan wajib dilaksanakan kepada pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan selagi ia masih kekal dan tidak berlaku unsur kezaliman.
"Jika prinsip wala' dan kesetiaan ini menjadi amalan perkhidmatan awam, barulah ada disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi kerajaan ini.
"Kerajaan juga menyarankan penjawat awam untuk terus melipat gandakan usaha dalam melatih diri melakukan pelbagai tugas, kemahiran dan bakat, berbudaya kreatif dan inovatif serta mampu menyumbang kepada budaya kerja berproduktiviti, mempunyai nilai, pemikiran dan bermotivasi tinggi," katanya.

Beliau juga turut menggariskan tiga cabaran utama yang perlu ditempuhi kerajaan iaitu mendepani era pemerintahan baharu, geopolitik dan keamanan sejagat; memelihara kepentingan dan memenuhi kehendak kebajikan rakyat serta kemunculan Industri 4.0 .

No comments:

Post a Comment