Tuesday, January 1, 2013

Penjawat awam bakal dapat 'perlindungan'

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam bakal mendapat perlindungan sebaik-baiknya jika cadangan penambahbaikan perkhidmatan awam yang dikemukakan Suruhanjaya Khas bagi Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam diterima kerajaan.

Pengerusi suruhanjaya khas itu, Tun Zaki Azmi berkata, penambahbaikan itu meliputi 19 cadangan yang akan dikemukakan kepada Kabinet selewat-lewatnya Januari ini.

Jelas beliau, antara bentuk perlindungan itu adalah isu kenaikan gaji penjawat awam yang dibincangkan bersama enam anggota suruhanjaya tersebut.

"Kajian ini juga menentukan kakitangan awam akan dapat perlindungan daripada kerajaan, namun terpulang kepada kerajaan menerima atau tidak cadangan ini.

"Walau bagaimanapun, isu kenaikan gaji bukan perkara utama, tetapi fokus kita adalah menambah baik sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Jun lalu, kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.

Suruhanjaya tersebut diberi mandat mengemukakan perakuan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan dan perakuan itu akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Dalam pada itu, Zaki berkata, suruhanjaya yang turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman tersebut telah selesai membuat perbincangan bagi tujuan itu.

Jelas beliau, laporan kajian tersebut akan memberikan situasi menang-menang antara penjawat awam dan rakyat keseluruhannya.

"Laporan kajian ini hampir 100 peratus siap dan kita masih menerima cadangan daripada mana-mana pihak jika mahu berbuat demikian.

"Apa yang penting kita mahu memperbaiki mutu sistem penyampaian dan jika rakyat sudah boleh menerima, rakyat pun tidak akan marah kalau mahu naik gaji," katanya.

No comments:

Post a Comment