Saturday, August 30, 2014

CUEPACS mohon penyelarasan elaun rumah

Melaka: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan melaksanakan penyelarasan elaun tetap perumahan bagi kakitangan awam gred 40 dan ke bawah dalam Bajet 2015.
Presidennya Azih Muda berkata, penyelarasan elaun RM180 kepada RM450 yang pernah dicadangkan kesatuan itu sehingga menjadi isu tertunggak perlu dilaksanakan segera bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Katanya, elaun RM180 sebulan diberikan kepada kakitangan awam kumpulan pelaksana itu dilihat tidak lagi relevan pada masa kini terutamanya kepada mereka yang berkhidmat di kawasan bandar kerana kos sewa rumah yang tinggi.
"Elaun itu tidak dinaikkan sejak lebih 11 tahun lalu, kini tiada lagi rumah sama ada di bandar mahupun luar bandar boleh disewa pada kadar RM180 sebulan sekali gus memaksa kakitangan awam menanggung baki bayaran sewa.
"Sehubungan itu, kita mahu ia dinaikkan kepada RM450 bagi membantu meringankan beban kakitangan awam terdiri daripada kumpulan pelaksana yang perlu menanggung kenaikkan kos sara hidup pada masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-26 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)

Sunday, August 24, 2014

CUEPACS HARAP PENAMBAHBAIKAN 171 SKIM PERKHIDMATAN AWAM DIUMUM DALAM BAJET 2015

Bernama
18/9/2014


IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap penambahbaikan 171 skim perkhidmatan awam yang sedang disemak kerajaan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015.

Presidennya Azih Muda berkata Cuepacs kini dalam rundingan akhir dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung penambahbaikan skim perkhidmatan awam dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ijazah.

"Cuepacs berharap kerajaan dapat memberi penjelasan segera mengenai penambahbaikan skim itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat isu-isu semasa bersama Pembantu Tadbir di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Beliau turut meminta kerajaan menyemak gaji minimum kakitangan awam RM800 supaya dinaikkan 30 peratus kerana kos sara hidup yang kini kian meningkat.

"Penjawat awam masih lagi ada yang gaji bawah RM800, mereka ini dikira golongan di bawah garis kemiskinan. Kita minta kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam minimum RM1,200 kerana generasi muda perlukan rumah untuk didiami, membesarkan anak-anak mereka dalam keadaan yang lebih kondusif," katanya.

Dalam Bajet 2015, Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memberi lebih peruntukan terhadap aspek kesihatan termasuk menambah mesin hemodialisis.

CUEPACS MOHON BONUS DUA BULAN UNTUK KAKITANGAN KERAJAAN

11 Ogos 2014


Utusan Malaysia
11/8/2014



KUALA LUMPUR 11 0gos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam pada pembentangan Bajet 2015, Oktober ini.
 
Presidennya, Azih Muda berkata, pemberian bonus itu amat penting bagi mengurangkan beban tanggungan kakitangan awam terutamanya golongan berpendapatan rendah menangani kos sara hidup yang tinggi.Katanya, ia juga selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin memberangsangkan selain bertujuan menghargai jasa penjawat awam dalam memacu perkembangan itu.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan cek sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) bagi membantu meringankan beban pertubuhan kebajikan itu yang melaksanakan misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza.Dalam majlis itu, CUEPACS turut menyumbang sebanyak RM5,000 masing-masing kepada Ma’ahad Tahfiz Akademi Iqro Alquran dan Pusat Jagaan Darul Atiq.-